PICKIDS: 27,200 kanak-kanak di Sarawak layak terima vaksin - Dr Rosmawati

Astro Awani
Februari 2, 2022 11:36 MYT
Katanya pada majlis pelancaran itu, pihaknya akan memberikan vaksinasi kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Seramai 27,200 kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun di Sarawak layak menerima vaksin menerusi program vaksinasi COVID-19 kanak-kanak yang bermula esok.
Timbalan Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Rosmawati Ariffin berkata, bagaimanapun, pihaknya akan melancarkan pra pelancaran vaksinasi kanak-kanak esok yang dihadiri Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
Malah, katanya pada majlis pelancaran itu, pihaknya akan memberikan vaksinasi kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan.
"Esok kita akan mulakan vaksinasi kanak-kanak dengan mengadakan pra pelancaran. Kita fokus kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan.
"Bagi kanak-kanak lain kita akan melihat dan menilai sama ada akan memulakan pemberian vaksin jenis Pfizer pada 5 atau 7 Februari 2022," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam ciapan di Twitter memaklumkan sejumlah 4 juta kanak-kanak bawah 12 tahun di Malaysia layak menerima vaksin tersebut.
Katanya, setakat Selasa, seramai 517,107 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah didaftarkan oleh ibu bapa mereka untuk menerima vaksin COVID-19.
#vaksin kanak-kanak #Vaksin Sarawak #PICKids #JPBN Sarawak