KUALA LUMPUR : Penghantaran pertama vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak akan tiba esok (28 Januari) dan akan dihantar ke 52 pusat simpanan Vaksin Ultra Low Freezer (ULTF) di seluruh negara. 

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, dengan ketibaan Vaksin Pfizer (Kanak-kanak) itu, pemberian vaksin akan bermula pada 3 Februari ini.

"Sebagaimana semua sedia maklum, YB Menteri Kesihatan telah memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan pemberian vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun bermula Februari 2022 melalui Program Vaksinasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids).

"Vaksin mRNA iaitu Comirnaty® 10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech) akan digunakan," katanya dalam satu sidang media pada Khamis.

BACA: Tiada sekatan dikenakan kepada kanak-kanak tidak divaksin - Khairy

Tegasnya, vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak adalah selamat dan berkesan, selain ia disokong dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kolej Pediatrik, Academy of Medicine Malaysia pada 20 Januari 2022.

"Dianggarkan seramai 4 juta kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun layak untuk menerima vaksin ini. Pengambilan vaksin ini adalah amat digalakkan bagi memastikan kesihatan anak-anak terpelihara," tambah beliau.

Sebagai permulaan, pemberian vaksin Pfizer (kanak-kanak) akan dilaksanakan di Lembah Klang melalui hospital-hospital bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah perubatan, manakala pemberian vaksin bagi kanak-kanak yang tiada masalah perubatan akan diberi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi.

Seterusnya, ia akan diperluaskan ke sekolah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.

"Kaedah pemberian lain yang telah dikenal pasti adalah PPV Offsite, klinik swasta, klinik kesihatan dan program jangkau luar (outreach).

"KKM juga telah memulakan kerjasama dengan agensi-agensi pemegang taruh yang lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional, Jabatan Kemajuan Masyarakat, persatuan dan pertubuhan bagi memastikan semua kanak-kanak mendapat akses kepada vaksinasi COVID-19,"k atanya.

Dalam pada itu, Sistem Tempahan Janji Temu melalui Aplikasi MySejahtera akan dibuka bagi memudahkan ibu bapa atau penjaga membuat tempahan janji temu.

"Sehingga hari ini, 484,639 kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun telah mendaftar di MySejahtera. Melalui kaedah ini, ibu bapa atau penjaga boleh memilih lokasi serta masa vaksinasi yang sesuai untuk anak mereka.

"KKM mempelawa ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun yang tinggal di Lembah Klang untuk membuat tempahan janji temu untuk anak-anak mereka. Pelaksanaan sistem janji temu akan diperluaskan ke negeri lain dalam masa terdekat," jelas Dr Noor Azmi. 

Sistem itu akan dimuat naik di Google Play Store pada hari ini (Khamis) dan boleh diakses dalam masa terdekat.

Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil langkah-langkah yang berikut untuk membuat tempahan:

i. Kemas kini (update) Aplikasi MySejahtera;

ii. Daftar anak-anak sebagai tanggungan (dependent) dalam MySejahtera;

iii. Ibu bapa yang tinggal di Lembah Klang akan menerima pautan untuk membuat tempahan janji temu.

Beliau dalam pada itu turut mengalu-alukan Pakar Kanak-kanak swasta turut menyertai PICKids melalui ProtectHealth Corp sekiranya mereka masih belum terlibat dalam program ini.

"Program Vaksinasi bagi setiap lapisan umur masyarakat adalah penting untuk membolehkan Malaysia memasuki fasa endemik dan seterusnya pulih sepenuhnya dari impak pandemik COVID-19.

"Justeru bagi program ini, saya menyarankan setiap individu menjalankan tanggungjawab masing-masing
sebagai ibu bapa dan penjaga untuk memastikan kesejahteraan keluarga dan negara," ujarnya lagi.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata, PICKids akan dilancarkan pada 3 Februari depan di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam masa yang sama mensasarkan 70 peratus kanak-kanak lima hingga 11 tahun dalam sistem pendidikan diberikan dos pertama vaksin Pfizer dalam tempoh dua bulan dari tarikh program dilancarkan.

Kerajaan bagaimanapun tidak akan mengenakan sekatan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang tidak mendapat vaksin COVID-19.