ALOR SETAR: Pihak berkuasa agama negeri perlu memandang serius tindakan sesetengah individu yang melakukan perbuatan yang 'dilihat' bertentangan dengan ajaran Islam terutama di media sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata individu yang terlibat perlu dipanggil bagi disiasat.

Katanya, ini termasuk pasangan kontroversi iaitu dua DJ yang popular di laman sosial, yang mendakwa mereka kembali tinggal bersama meskipun lafaz talak tiga telah dibuat pada April lalu.

Menurut beliau, berkemungkinan besar juga kedua-dua individu berkenaan menganggap hukum nikah dan cerai sebagai satu perkara yang sangat biasa berikutan kurang memahami hukum Islam.

"Kita nak kata dia permainkan (Islam) itu saya tak berani kata, mungkin (berlaku disebabkan) kejahilan dia, dia anggap benda itu mainan biasa, mungkin... saya tidak boleh nak (kata) benda tu dia permainkan agama, mungkin (berlaku) kejahilan.

"Dia anggap macam tidak ada apa (penceraian talak tiga itu), boleh rujuk (semula) macam itu sahaja, mungkin dia jahil, sebab itu kita harapkan pihak agama panggil dia, kalau ini melibatkan soal apa nasab, soal keturunan (dan) sebagainya, (akan timbul masalah yang lebih besar)," katanya.

Idris berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Multaqa Murabbi Ummah peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar pada Ahad.

Minggu lalu, timbul kontroversi membabitkan pasangan yang memiliki sekitar 100,000 pengikut di media sosial itu apabila wanita berusia 47 tahun itu mendakwa sudah kembali tinggal sebumbung dengan bekas suaminya yang berusia 53 tahun, meskipun telah diceraikan dengan talak tiga.

Dia turut mendakwa sudah merujuk isu itu dengan ahli keluarga dan bijak pandai agama yang memaklumkan apa dilafazkan bekas suaminya sebelum itu sebagai tidak sah.