Pihak berkuasa gantung aktiviti latihan juruterbang di kemudahan Air India - Laporan

Bernama
Ogos 30, 2023 20:37 MYT
Tindakan menggantung aktiviti latihan juruterbang diambil selepas beberapa kesalahan dikesan semasa pemeriksaan di kemudahan latihan Air India. - Gambar fail REUTERS
NEW DELHI: Perkhidmatan penerbangan komersial Air India mungkin akan terjejas, susulan tindakan pengawal selia penerbangan India menggantung aktiviti latihan juruterbang di dua kemudahan syarikat penerbangan itu, lapor media tempatan pada Rabu.
Direktorat Penerbangan Awam (DGCA) menghentikan aktiviti latihan simulator di kemudahan Hyderabad Air India dalam tempoh tiga hari selepas tindakan sama diambil di Mumbai yang digunakan untuk melatih juruterbang Boeing, lapor PTI.
Tindakan berkenaan diambil selepas beberapa kesalahan dikesan semasa pemeriksaan di kemudahan latihan tersebut, menurut laporan itu memetik sumber.
Syarikat penerbangan yang sebelum ini merupakan milik kerajaan telah diambil alih oleh Kumpulan Tata pada Januari 2022.
Air India pada Jun tahun ini memuktamadkan kontrak dengan pembuat pesawat Airbus dan Boeing untuk 470 pesawat jenis lorong tunggal (single-aisle) dan badan lebar (wide-body).
-- BERNAMA
#Air India #DGCA #aktiviti latihan juruterbang #gantung latihan