KUALA LUMPUR: Pihak yang menggembar-gemburkan isu urusniaga saham dan mahu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dilucutkan jawatan mempunyai agenda tertentu.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan pihak ini tidak menurut peruntukan undang-undang yang menyebut seseorang tidak bersalah selagi tidak dibuktikan.

"Nampaknya, mereka ingin menghukum Tan Sri Azam Baki sebelum ada perbicaraan dan bukti yang kukuh menurut undang-undang negara.

"Agensi SPRM adalah amat penting di dalam agenda membanteras rasuah dan perang media sebegini untuk memulaukan Tan Sri Azam Baki dengan memainkan isu sebegini nampaknya bertujuan memberi persepsi negatif kepada reputasi KP dan SPRM," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ahmad Faizal juga menjelaskan penjawat awam, khasnya SPRM perlu terus menjalankan tugas dengan berani dan tidak harus takut menjalankan amanah hanya kerana ada pihak tertentu yang berkomplot menjatuhkan imej penjawat awam sebelum ada bukti kukuh dan perbicaraan mahkamah.

Azam dilanda kontroversi hebat berhubung dakwaan pemilikan saham di dua syarikat pada 2015 ketika beliau memegang jawatan pengarah bahagian siasatan SPRM.

Ia mengundang gesaan agar siasatan dilakukan berhubung hal itu dan Azam direhatkan daripada jawatan ketua tertinggi agensi pencegahan rasuah negara.

BACA: Bukan saya lantik Azam Baki - Muhyiddin

BACA: SPRM sokong Azam Baki, sifatkan tuduhan bermotif politik dendam

BACA: Isu pemilikan saham: Azam Baki yakin tidak lakukan sebarang kesalahan jenayah

BACA: Saham Azam Baki: Bukit Aman sahkan terima laporan

Bagaimanapun Azam memaklumkan kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun perdagangan miliknya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki untuk memperoleh saham tersebut.