Pihak yang tarik sokongan kepada Muhyiddin berkepentingan peribadi - Nazri

Irwan Muhammad Zain
Ogos 4, 2021 08:07 MYT
Menurut Nazri, pendedahan yang dibuat Muhyiddin itu membuktikan keputusan pihak yang menarik sokongan bukan kerana mahu menjaga kepentingan parti seperti yang didakwa sebelum ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pendedahan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa ada yang mendesak beliau campur tangan urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah membuktikan bahawa keputusan menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) dibuat atas kepentingan peribadi, dakwa Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Menurut Nazri, pendedahan yang dibuat Muhyiddin itu membuktikan keputusan pihak yang menarik sokongan bukan kerana mahu menjaga kepentingan parti seperti yang didakwa sebelum ini.
“Saya kira ini kali pertama Perdana Menteri mendedahkan perkara ini kepada umum.
“Jadi bila Perdana Menteri sudah dedahkan bermakna kita tahu bahawa hendak tarik sokongan ini bukan kerana kepentingan parti sebaliknya kerana kepentingan peribadi,” katanya kepada Astro AWANI.
[LAPOR LANGSUNG] 'Tiada isu peletakan jawatan' - Muhyiddin
Beliau menegaskan pihak-pihak yang mempunyai kes di mahkamah sepatutnya mencontohi apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atau Ku Nan yang kini menghadapi kes di mahkamah.
“Kalau nak bersihkan nama buat macam Ku Nan yang lawan kes di mahkamah yang akhirnya dibebaskan daripada kesnya.
“Jangan minta pihak lain campur tangan dan bebaskan kes di mahkamah. Bila tidak dapat, hendak tarik sokongan, ini tidak betul,” katanya lagi.
BACA: MKT UMNO tarik sokongan, mahu Muhyiddin letak jawatan sebagai PM
Terdahulu dalam satu Perutusan Khas pada Rabu, Muhyiddin yang memimpin kerajaan PN mendedahkan ada pihak yang kurang senang dengan ketegasannya untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka.
Menurut Muhyiddin, antara tuntutan yang dibuat termasuk desakan supaya beliau mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.
Perdana Menteri | Ada pihak tidak senang hati
BACA: 'Ada pihak cetuskan kemelut politik, mahu saya campuri urusan mahkamah' - PM Muhyiddin
#Mohamed Nazri Abdul Aziz #UMNO #Zahid Hamidi #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #Politik Malaysia #Tengku Adnan Tengku Mansor