IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memberikan penghargaan kepada pelakon terkenal India, Yogi Babu dan kru produksi yang memilih Ipoh sebagai lokasi penggambaran filem terbaharunya.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata penghargaan itu diberikan kerana secara tidak langsung telah mempromosikan bandar raya Ipoh dan negeri Perak di India dan dunia.

"Pihak produksi telah memilih Little India sebagai lokasi pengambaran yang sinonim dengan penjualan barang-barang perhiasan, baju dan rempah ratus untuk kaum india membeli-belah.

"Kami turut mencadangkan beberapa lokasi di bandar raya ini untuk dijadikan lokasi penggambaran seperti di Kampung Baru Buntong yang sekali gus dapat menjana pendapatan ekonomi kacang putih di kawasan tersebut," katanya kepada Bernama.

Rumaizi berkata kru produksi kira-kira 90 orang dari India itu telah berkampung di bandar raya ini hampir 35 hari dan akan mengetengahkan filem genre komedi romantis yang dibarisi pelakon terkenal iaitu Vijay Sethupathi.

Semalam, Pengarah Kerja dan Bangunan (MBI) Ir Ts Arif Mohd Zainudin mewakili Datuk Bandar Ipoh menyampaikan cenderamata kepada Yogi Babu serta kru penggambaran di Little India.

Antara filem terkenal lakonan Yogi Babu ialah Maan Karate, Komban, Kaaki Sattai, Pokkiri Raja, Jackson Durai, Atti and Sathriyan.

-- BERNAMA