Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 semakin panas dengan pelbagai perang psikologi antara pembangkang dan Barisan Nasional (BN).

Beberapa hari lalu, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem yakin, BN mampu memenangi sekurang-kurannya 70 kerusi pada PRN kali ini.

Semalam DAP turut memainkan perang psikologinya apabila pemimpin veteran parti itu, Lim Kit Siang dalam kenyataan pada kempen di Sarawak pada Isnin mendakwa, DAP mampu memenangi 20 kerusi pada PRN kali ini.

Selain mengekalkan 12 kerusi Cina yang dimenangi pada 2011, Kit Siang yang juga Ketua Ahli Parlimen DAP mendakwa mampu merampas kerusi yang bukan lagi kawasan majoriti Cina, sebaliknya juga di kerusi majoriti etnik Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

Namun, perkara itu disanggah oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi program Analisis AWANI Khas di Kuching, petang tadi.


Ahmad Zahid mahu rakyat Sarawak tidak terperangkap dengan perang psikologi yang dibawa oleh pihak pembangkang.

"Saya lihat kedua-dua belah pihak melakukan perang psikologi, tetapi saya harap pengundi-pengundi jangan terperangkap dengan kenyataan Lim Kit Siang kerana beliau kononnya mengharapkan agar ada suara yang seimbang daripada pihak pembangkang.

"Kita tahu bahawa jika suara pembangkang lebih kuat di Dewan Undangan Negeri (Dun), ia akan menyebabkan pandangan antagonis berlaku sebagai mana berlaku di Dewan Rakyat sekarang ini," katanya.

Malah, sasaran Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem bahawa BN akan berjaya menakluki 70 kerusi pada PRN kali ini memberi mesej bahawa jentera BN perlu bekerja dengan lebih kuat dalam mengembalikan semula kepercayaan rakyat terutama untuk merampas semula kerusi yang tewas sebelum ini.

"Tentunya kepentingan untuk mendapatkan majoriti lebih daripada dua per tiga dan sebagai mana yang dihajati oleh Tan Sri Adenan Satem untuk memperpolehi 70 kerusi Dun, ini adalah sasaran pada hemat saya jentera parti harus menterjemahkan dalam bentuk kerja yang lebih kuat dan saya harap mereka tidak terjebak dengan perang psikologi yang telah dilemparkan oleh pembangkang.

"Saya harap politik pembangunan yang amat diharapkan oleh rakyat Sarawak harus diterjemahkan dalam bentuk dokongan kepada calon-calon BN dan saya fikir sepanjang dua tahun apa yang telah dilakukan oleh Adenan adalah sesuatu yang luar biasa dan saya anggap beliau adalah satu anugerah Tuhan kepada rakyat Sarawak," katanya.


Menurutnya, fokus jentera BN pada ketika ini adalah kepada golongan sasaran terutama golongan muda dan yang berpendapatan sederhana yang bekerja di bandar dan akan membuang undi di kampung halaman masing-masing.

Ini kerana, golongan tersebut mempunyai pengaruh yang kuat kepada pengundi-pengundi di kawasan luar bandar.

"Perlu diingat bahawa terdapat beberapa kerusi DUN di luar bandar yang mempunyai pengundi-pengundi yang tinggal di bandar. Ertinya mereka berasal daripada luar bandar atau kawasan berkenaan tetapi mereka tinggal di bandar-bandar besar di Sarawak ini dan mereka akan pulang mengundi.

"Umpamanya ada beberapa tempat di pedalaman yang pengundi luar, yang tinggal di bandar ini mencapai sehingga 40 peratus. Ini merupakan satu jumlah yang besar kerana mereka mempunyai pendapat yang agak berbeda kerana pendedahan pemberitaan, maklumat yang diperolehi daripada media maya," ujar Ahmad Zahid.

Justeru, beliau mahu jentera BN tidak terlalu yakin dengan pendekatan dilakukan sekaligus bersedia untuk menangkis tohmahan perang psikologi pembangkang berbaki tiga hari lagi menjelang hari pembuangan undi.