Ujarnya, beliau akan sentiasa berbincang dan membantu Menterinya, Hannah Yeoh agar perancangan melibatkan anak muda berjalan dengan baik.
“Sudah tubuh Kerajaan. Masing-masing kena ambil tanggungjawab. Kita sudah buat (tubuh) Kerajaan dah.
“Saya tak nampak cabaran besar (politik). Cabarannya ialah nak pastikan agenda yang dimuktamadkan itu terlaksana. Ke hadapannya ada banyak cabaran. Perdana Menteri juga fokus kepada kos sara hidup dan pembaharuan perlu diberi fokus,” katanya kepada media selepas mengangkat sumpah jawatan Timbalan Menteri di Istana Negara di sini pada Sabtu.
PANTAU PENCAPAIAN KERAJAAN BAHARU DI SINI!
Tegasnya, sekarang adalah masa untuk mereka yang bertanggungjawab kepada rakyat untuk fokus kepada kerja dan mengetepikan perbalahan politik lalu.
“Isu-isu politik ini, pilihan raya sudah tamat. Jangan kita heret terlalu panjang perbalahan politik tersebut. Itu merugikan tenaga dan masa orang-orang yang sepatutnya buat kerja sekarang ini,” ujarnya.
Adam Adli adalah antara 27 Timbalan Menteri yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini pada Sabtu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Adam Adli yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menang kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya dengan memperoleh 39,418 undi, menewaskan tiga lagi pencabarnya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali daripada Barisan Nasional (BN), Mohd Azrudin Md Idris (Perikatan Nasional) dan Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh (Pejuang).