Pintu sempadan negara masih ditutup kepada warga asing dan hanya rakyat Malaysia dibenarkan masuk ke dalam negara ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada diplomat, ekspatriat dan peserta program Malaysia My Second Home.

Pada masa sama, mereka perlu menjalani kuarantin selama 14 hari selain perlu membuat permohonan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk masuk ke negara ini, katanya.

"Polisi tetap sama iaitu hanya warga Malaysia yang pulang dari luar negara yang boleh masuk ke negara kita. Itu sahaja. Pintu sempadan kita masih ditutup kepada warga asing. Untuk warga Malaysia boleh masuk. Kalau dulu wajib kuarantin 14 hari (di pusat kuarantin) tapi sekarang ini kita buat kuarantin di rumah mulai esok.

"Namun untuk warga asing masih tidak dibenarkan (masuk) kecuali para diplomat, ekspatriat dan peserta Malaysia My Second Home. Itu kita beri sedikit pengecualian kerana mereka akan tinggal di sini," katanya pada sidang media harian di sini, pada Selasa.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan masih menguatkuasakan larangan rakyat Malaysia ke luar negara, kecuali bagi kes-kes khas dan berkeperluan.

"Bagi rakyat kita yang hendak ke luar negara, kita juga hendak tutup pintu kepada rakyat kita untuk ke luar negara. Namun kita ada banyak permohonan, misalnya pelajar yang terpaksa pulang ke universiti mereka di luar negara untuk mengambil peperiksaan atau kes lain yang tertentu.

"Jadi kita setuju benarkan kes khas seperti ini untuk ke luar negara, tetapi tertakluk kepada kelulusan Jabatan Imigresen Malaysia," ujar beliau.