HULU TERENGGANU: Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) meNndapat sambutan menggalakkan apabila lebih 400,000 pengguna telah memanfaatkan program yang dilaksanakan sejak awal Disember tahun lalu.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, sehingga 9 Januari lalu sebanyak RM7.8 juta nilai jualan telah direkodkan.

Katanya sepanjang tempoh itu juga, PJKM telah diadakan di 274 lokasi dan mendapatkan maklum balas positif terutama dalam meringankan bebanan rakyat mendepani situasi harga barangan yang tidak stabil mutakhir ini.

"Jadi menunjukkan cukup signifikan dan cukup berkesan untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan kerana COVID-19 dan banjir yang melanda negara kita bulan lepas," katanya.

Beliau berkata, selain membantu meringankan beban perbelanjaan isi rumah rakyat, PJKM juga menjadi pemangkin kepada pengguna untuk merancang pembelian dan membuat pilihan bijak.

PJKM yang menawarkan barang keperluan harian pada harga lebih murah sehingga 30 peratus akan diadakan di semua 222 kawasan parlimen seluruh negara secara berperingkat.

BACA: Program Jualan Keluarga Malaysia di 222 kawasan Parlimen bermula Sabtu ini - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif itu adalah antara usaha meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang ketika ini.