JAKARTA: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui Bahagian Pembangunan Usahawan menyasarkan sekurang-kurangnya 10 usahawan untuk berjaya menembusi pasaran antarabangsa tahun ini.

Bagi mencapai tujuan itu, usahawan bimbingan PKNS akan dijemput menyertai beberapa ekspo luar negara seperti Salon International de l'alimentation (SIAL) Canada yang akan berlangsung pada Mei depan.

SIAL Canada merupakan pameran terbesar industri makanan di Kanada.

"Tahun ini kami berhasrat melahirkan usahawan yang berdaya saing melalui penyertaan di expo dan pameran antarabangsa," kata Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS, Yuzawati Yusof kepada Bernama.

PKNS telah menambah nilai tambah kepada program yang dilaksanakan sejak 2022 dengan menyediakan platform bagi membantu usahawan mengembangkan sayap perniagaan di luar negara.

Sejak 1995, pihaknya telah melaksanakan 20 program keusahawanan yang memfokuskan pembangunan usahawan khususnya di Selangor.

Terbaharu, 12 syarikat yang beroperasi di Selangor melibatkan 22 produk menyertai pameran Info Franchise and Business Concept (IFBC) 2023 untuk mengintai peluang perniagaan di pasaran Indonesia.

Pameran tiga hari berakhir 12 Mac di ICE BSD Tangerang, Banten disertai pengusaha kafe berjenama Qidot Cafe dan penyedia lauk segera berasaskan tempoyak jenama Mak Uda - "Patin Temerloh".

Menurut Yuzawati program julung kali melibatkan sesi padanan perniagaan (B2B) di IFBC berjaya meningkatkan pengetahuan pasaran dan kerjasama usahawan di kedua negara.

Program di IFBC mendapat sokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Jakarta, dan Malaysia Chambers Jakarta (MCJ) yang memupuk jaringan perniagaan antara Malaysia dan Indonesia.

"Kami sentiasa menyokong program ini dan akan cuba membantu usahawan meneroka potensi pasaran di sini," kata Presiden MCJ, Raja Elona Safinaz Raja Safian.

-- BERNAMA