KUALA LUMPUR:Seramai 196 individu ditahan atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, semua mereka telah dikompaun pada Rabu yang juga hari ke-275 PKP dan hari ke-191 PKP Pemulihan (PKPP).

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (88), tidak memakai pelitup muka (86), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (lapan) dan lain-lain (14).

"Operasi Benteng telah berjaya menahan 59 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas tiga kenderaan darat.

"Sebanyak 39 operasi sanitasi meliputi 13 Zon Merah, satu Zon Jingga, 14 Zon Kuning dan satu Zon Hijau yang melibatkan 10 buah negeri," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu jelasnya, sejak 24 Julai sehingga 16 Disember, seramai 87,522 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Katanya, seramai 9,004 sedang menjalani kuarantin wajib manakala 532 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

Tambahnya, seramai 77,986 individu telah dihantar pulang.

"Mereka telah pulang dari 36 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal dan Bangladesh.

"Selain itu mereka juga dari Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Ethiopia, Maldives dan Oman," ujarnya.

Katanya lagi, pemeriksaan juga mendapati 22 dari 24 tapak binaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan manakala dua tapak binaan tidak beroperasi.

Sementara, hanya satu daripada 705 premis yang diperiksa penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) didapati tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan.