KUALA LUMPUR:Seramai 249 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang 24 jam yang lalu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada semua yang ditahan seorang direman.

"Daripada jumlah itu, 248 dikompaun dan seorang individu direman.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk 132 individu gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal, 63 ditahan kerana tidak memakai pelitup muka dan 54 lagi gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, mengenai Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM, sebanyak 47,811 pemeriksaan dilakukan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, sebanyak 2,777 Pasukan Pematuhan membabitkan 12,489 anggota membuat pemantauan di 3,549 pasar raya, 4,761 restoran serta 1,794 penjaja, 1,144 kilang, 3,321 bank dan 548 pejabat kerajaan.

"Pemantauan juga dilakukan di 962 terminal pengangkutan darat, 245 terminal pengangkutan air serta 111 terminal pengangkutan udara," katanya.

Sementara itu, beliau menambah, Operasi Benteng (Op Benteng) berjaya menahan 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong serta merampas lapan kenderaan darat.

"Sebanyak 118 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan semalam yang melibatkan Op Penawar dan Op Benteng," katanya lagi.