Kedua-dua anak Mary seolah-olah jadi seperti burung hantu dalam tempoh lebih 50 hari kebelakangan ini dengan berjaga lewat malam dan tidur di siang hari.

Keadaan itu berlaku sejak kedua-dua pelajar sekolah rendah itu melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan sejak 18 Mac bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini, menyebabkan sekolah masih ditutup sehingga kini.

Mary berdepan cabaran dalam mengehendaki anak-anaknya tidur awal dan mereka sering menyatakan tidak boleh tidur awal dan berjaga sehingga lewat 2 pagi.

"Kesannya mereka bangun tengah hari. Saya bimbang mereka tidak boleh mengubah rutin tersebut apabila sekolah dibuka semula setelah PKP tamat," katanya.

Mary tidak keseorangan dalam menghadapi situasi tersebut kerana R. Devi, 45, turut sedar dengan perubahan rutin anak perempuannya berumur 15 tahun, tidur lewat dan bangun lewat.

"Anak saya tidak ke sekolah dan belajar di rumah sahaja. Sebelum ini, dia selalu belajar pada waktu malam dan bangun awal untuk menyambung belajar lagi. Bagaimanapun, rutinnya berubah semasa PKP. Saya risau tabiat tersebut akan terbawa-bawa sehingga dewasa," kata Devi.

Tidur lewat dan bangun lewat nampaknya sudah menjadi satu rutin baharu kebanyakan pelajar ketika keluarga mereka menyesuaikan diri dengan normal baharu di bawah PKP.

Rutin tersebut dilihat lebih ketara membabitkan kanak-kanak berbanding orang dewasa kerana kanak-kanak mempunyai banyak masa di rumah.

Ibu bapa khuathir mereka akan menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan rutin sebelum ini apabila sekolah dibuka kelak setelah PKP berakhir.

Dr Deepa Darshini Amarnath, pakar psikiatri di Hospital Kuala Lumpur berkata, PKP dilihat boleh menyumbang kepada gangguan rutin kanak-kanak disebabkan ketiadaan sokongan sosial yang biasa daripada kawan-kawan dan guru-guru.

Beliau berkata, perubahan rutin secara tiba-tiba itu boleh membawa kepada pelbagai peringkat kegelisahan, takut dan sedih dalam kalangan kanak-kanak dan mereka memerlukan ibu-bapa berada di sisi mereka sepanjang masa, dan boleh memberi kesan terhadap corak tidur mereka.

"Kita semua mempunyai 'in-built body clock' yang dipengaruhi dengan keadaan siang hari atau malam. Apabila seseorang (dewasa atau kanak-kanak) duduk di rumah sepanjang masa, otak tidak menerima cukup isyarat mengenai keadaan siang atau malam bagi menentukan corak tidur yang betul, mengakibatkan pusingan tidur kanak-kanak terjejas.

"Bagi mengatasi masalah ini, seboleh-bolehnya cuba kekalkan rutin asal (bangun tidur, makan, dan aktiviti-aktiviti lain) dan sediakan jadual waktu aktiviti keluarga. Sediakan jadual waktu yang boleh digambarkan untuk memenuhi keperluan kanak-kanak kurang upaya seperti autisme, beri mereka tugasan mudah dan buat mereka berasa selesa yang mereka juga boleh membantu," katanya kepada Bernama.

Dr Deepa Darshini berkata, ibu bapa juga boleh menggunakan pelbagai pendekatan termasuk memberitahu mereka yang kehidupan mesti diteruskan atau berkongsi dengan mereka mengenai kesusahan yang mereka hadapi dan bagaimana mengatasinya.

"Ibu bapa boleh juga memperuntukkan waktu tertentu untuk bersembang dengan anak-anak. Galakkan mereka untuk menyatakan perasaan (takut, marah, sedih) mereka dengan cara yang mereka selesa sama ada melalui perbualan, lukisan atau tulisan," katanya.

Ditanya jenis aktiviti yang boleh dilakukan bagi mengekalkan kesihatan mental dan fizikal, beliau berkata, senaman mudah boleh dilakukan setiap pagi dan biarkan cahaya matahari memasuki rumah.

Pakar keibubapaan dan pembelajaran Dr Shukri Abdullah berkata, ibu bapa mempunyai peranan untuk tegas tetapi penyayang dan baik.

Beliau berkata, ibu bapa boleh menetapkan beberapa peraturan bagi mendisiplinkan anak-anak di rumah.

"Paling utama, jangan benarkan anak-anak bawa telefon bimbit ke dalam bilik mereka. Mereka aktif dengan media sosial seperti Facebook, Instagram dan YouTube merupakan satu daripada faktor mengapa mereka tidur lewat dan bangun lewat," katanya.

"Satu daripada peraturan-peraturan yang boleh dibuat adalah menetapkan mereka belajar sekurang-kurangnya lima jam sehari semasa PKP. Anak-anak mungkin akan bertegang urat dan memberontak tetapi ibu bapa perlu tegas dan berbicara dengan mereka mengenai peraturan-peraturan yang boleh dilaksanakan di rumah," katanya.

Shukri berkata, beberapa aktiviti boleh dijalankan seperti menyelesaikan teka-teki, bermain catur, melukis dan menonton televisyen bagi mengelakkan anak-anak mendampingi media sosial.

"Ibu bapa juga perlu mempunyai keazaman untuk meluangkan masa bersama anak-anak semasa PKP, sesuatu yang sukar dibuat apabila PKP ditarik balik. Mereka hendaklah kreatif menyesuaikan diri dengan keadaan," katanya.

PKP Bersyarat dilaksanakan mulai 4 Mei bagi membolehkan lebih banyak aktiviti ekonomi digerakkan semula tanpa mengetepikan aspek kepentingan memerangi wabak COVID-19. Sekolah terus ditutup sehingga diberitahu kelak.

PKP yang memasuki fasa keempat akan berakhir 12 Mei. - BERNAMA