PKPB: 77,537 pemeriksaan dilakukan oleh Pasukan Task Force, 44 individu ditahan

Hasimi Muhamad
Mei 20, 2020 06:45 MYT
Selain itu, pemeriksaan turut dilakukan di 1,108 terminal pengangkutan darat, 208 terminal pengangkutan air serta 107 pengangkutan udara. - Gambar fail
Pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan 77,537 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara sepanjang Selasa.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 4,883 pemeriksaan dilakukan di pasar raya, 5,572 restoran, 697 penjaja, 1,260 kilang serta 3,878 bank.
Selain itu, pemeriksaan turut dilakukan di 1,108 terminal pengangkutan darat, 208 terminal pengangkutan air serta 107 pengangkutan udara.
“Pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah memeriksa sebanyak 32,670 buah kenderaan persendirian, 2,369 kenderaan awam dan 461 vessel.
“Turut diperiksa adalah 2,814 pasar awam, 4,138 tempat ibadah, 3,1,546 tempat riadah dan 462 tapak binaan. Sebanyak 3,315 Pasukan Pematuhan telah membuat pemantauan dan melibatkan seramai 18,864 anggota,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Selasa.
Dalam perkembagan sama, Ismail Sabri berkata PDRM turut menahan sekurang-kurangnya 44 individu atas kesalahan melanggar SOP PKPB, setakat Selasa.
Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 40 individu telah direman, sementara empat lagi diberikan jaminan polis.
“Jadi sekali lagi saya ingatkan bahawa setiap individu hendaklah memantau SOP jika tidak mereka akan berhadapan dengan tindakan daripada polis sama ada diberikan kompaun, direman atau dihadapkan di mahkamah atas kesalahan ingkar arahan PKP,” tegasnya.
#bank #ismail sabri yaakob #mahkamah #Media #PDRM #PKPB #Polis Diraja Malaysia #SOP