Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyambung semula perkhidmatan Pengeluaran Umur 50/ 55/ 60 dan pengaktifan i-Akaun mudah alih bermula Rabu, 6 Mei, di cawangan-cawangan yang diluluskan di seluruh negara.

KWSP berkata perkhidmatan itu boleh didapati di cawangan yang terletak di negeri yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) termasuk Selangor dan Negeri Sembilan.

Cawangan yang terletak di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak akan kekal ditutup sehingga dimaklumkan kelak, kata dana pencen itu dalam satu kenyataan pada Isnin.

"KWSP faham bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020 adalah satu langkah yang perlu tetapi kami juga amat bimbang apabila PKP dilanjutkan kerana ia akan menyebabkan perkhidmatan yang memerlukan transaksi bersemuka seperti pengeluaran dan pengaktifan i-Akaun di cawangan akan terganggu.

"Berikutan pengumuman PKPB baru-baru ini, kami ingin mengumumkan penyambungan semula beberapa perkhidmatan ini di cawangan-cawangan yang diluluskan di seluruh negara," kata Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias.

Beliau berkata, bagi menjaga kesihatan dan keselamatan ahli dan kakitangan, KWSP akan mengenakan syarat yang ketat di premisnya selain menyediakan khidmat transaksi mudah dan cepat yang tidak memerlukan kontak secara fizikal iaitu Pengeluaran Umur 50/ 55/ 60 dan pengaktifan i-Akaun.

Majikan tidak dibenarkan untuk hadir di cawangan kerana semua perkhidmatan boleh dilakukan dengan menghubungi pegawai Khidmat Nasihat Majikan masing-masing dan semua ahli dikehendaki mematuhi langkah penjarakan sosial yang ditetapkan.

Menurutnya, ahli hanya boleh hadir di cawangan dengan membuat janji temu melalui saluran 'Janji Temu Online' di laman sesawang www.kwsp.gov.my bermula Selasa, 5 Mei 2020.

"Saya memohon kemurahan hati dan kesabaran ahli agar KWSP boleh beralih kepada normal baharu ini secepat mungkin. Insya-Allah, dalam tempoh yang terdekat, kami akan dapat menyediakan keseluruhan produk kami dengan perkhidmatan yang berkualiti melalui semua saluran fizikal (cawangan, jangkauan dan kios) serta saluran elektronik (pusat perhubungan, laman sesawang dan mudah alih)," kata Tunku Alizakri.

-- BERNAMA