SEPANG:Seramai 24 pekerja yang tinggal di luar Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenal pasti untuk menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19 hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata mereka adalah antara 120 pekerja di Medan 88 tetapi menjalani kuarantin di luar kawasan.

Sejak 11 Nov, seramai 423 penduduk Medan 88 sudah menjalani saringan COVID-19 dan tujuh didapati positif sejak pelaksanaan PKPD menjadikan jumlah keseluruhan penduduk yang dijangkiti wabak itu adalah seramai 51 orang termasuk 44 kes positif yang dikesan sebelum PKPD, katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata setakat semalam, tiada pertambahan jumlah penduduk yang pulang ke kediaman mereka dan tampil menyerah diri di kawasan yang dikenakan PKPD.

Katanya jumlah penduduk yang menyerah diri sehingga kini kekal melibatkan 14 rakyat Malaysia terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita dan 26 warga asing iaitu 18 lelaki dan lapan wanita.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 400 penduduk Medan 88 tidak pulang ke kediaman masing-masing selepas mendapat maklumat kawasan itu dipasang kawad duri untuk pelaksanaan PKPD yang berkuat kuasa dari 12 hingga 25 Nov.

-- BERNAMA