KUALA LUMPUR: Enam lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sabah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, PKPD di empat lokaliti di Sabah dilaksanakan bermula 27 Jun hingga 10 Julai.

Manakala PKPD di dua lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula akan bermula pada 26 Jun hingga 9 Julai.

Empat lokaliti di Sabah yang dilaksanakan PKPD ialah di Kampung Pukat Tanjung Batu Laut dan Kampung Baru Pasir Putih di Tawau serta Lorong 12, 15 dan 16 Taman Fajar dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni di Sandakan.

PKPD di dua lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melibatakan Kampung Segambut Dalam, Segambut dan Jalan Kubur, Pantai Dalam.

"Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPD di enam lokaliti ini setelah membaut penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"PKPD ini dilaksanakan bagi memastikan penduduk yang berisiko dijangkiti COVID-19 kekal berada dalam kawasan," katanya dalam kenyataan harian perkembangan PKP pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan penamatan PKPD di sembilan lokaliti di tiga buah negeri setelah KKM mengesahkan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal.

Beliau menjelaskan lokaliti di Sabah yang ditamatkan PKPD pada 26 Jun melibatkan Taman Villa Felca Nambazan, Penampang, Kampung Kadazan, Tawau, Kampung Lobou 1 dan Kampung Bukit Permai, Kota Kinabalu, Kampung Skim Cocos, Kunak, Taman Puri Warisan, Kota Kinabalu dan Taman Telipok Jaya, Tuaran.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju menamatkan PKPD di Mukim Bukit Besar dan Mukim Serada, Kuala Terengganu, Terengganu pada 26 Jun.

Beliau menjelaskan, kerajaan juga memutuskan untuk menamatkan PKPD di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah pada 26 Jun.