KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Pahang dan satu di Sabah ditamatkan pada 17 Oktober seperti yang dijadualkan.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad memaklumkan keputusan menamatkan PKPD di lokaliti terbabit dibuat setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai situasi semasa.

Dalam kenyataan media harian mengenai PKPD, Rodzi memaklumkan dua lokaliti di Pahang yang ditamatkan PKPD membabitkan Kampung Orang Asli Ulu Pareh di Bentong dan Kampung Orang Asli Sungai Kelang, Mukim Batu Talam di Raub.

Selain itu dalam kenyataan itu juga, beliau memaklumkan lokaliti di Sabah yang ditamatkan PKPD ialah Kampung Mokodou di Ranau.

Rodzi juga memaklumkan, tiada mana-mana lokaliti yang dilaksanakan atau dilanjutkan PKPD pada 16 Oktober.