KUALA LUMPUR:Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengumumkan kelonggaran dalam pelaksanaan upacara akad nikah di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di seluruh Selangor mulai 2 November ini.

Kelonggaran berkenaan diberikan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor yang dilanjutkan hingga 9 November.


Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata kebenaran melaksanakan akad nikah tertakluk kepada beberapa syarat, antaranya pemohon lelaki dan perempuan sudah mendapat Kebenaran Berkahwin mengikut Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 dari PAID.

"Hanya tiga orang dibenarkan hadir pada upacara akad nikah iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan dan wali.

"Manakala lima sesi akad nikah dibenarkan dalam satu hari iaitu pada hari Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga empat petang," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Jelas Shahzihan, kebenaran diberi kepada pasangan dalam Selangor atau pihak lelaki atau pihak perempuan dari Luar Selangor dengan tanggungjawab pihak-pihak mendapatkan kebenaran pergerakan rentas daerah atau negeri jika diperlukan oleh pihak berkuasa.

"Janji temu upacara pula boleh dibuat dengan menghubungi PAID berkaitan untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya," katanya.

 
Sumber Facebook JabatanAgamaIslamSelangor