SANDAKAN: Penularan COVID-19 di Taman Utama di sini, yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kemungkinan berlaku semasa perayaan Aidilfitri sejak 13 Mei, kata Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Sandakan Wong Foo Tin.

"Ya, ia (penularan) semasa raya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini mengenai punca yang menyebabkan pelaksanaan PKPD di kawasan itu selama 14 hari bermula hari ini.

Pada Rabu lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD diisytiharkan di Lorong Taman Utama 5 ke 8, Taman Utama di sini berikutan peningkatan mendadak kes wabak itu dalam tempoh singkat, dengan sembilan daripada 13 saringan disahkan positif, menjadikan kadar positif sebanyak 69.2 peratus.

Wong yang juga Presiden Majlis Perbandaran Sandakan tidak menafikan bahawa tuan rumah tidak menyediakan kod MySejahtera untuk tetamu mengimbas kehadiran mereka, menyebabkan pihak berkuasa menutup kawasan terbabit yang mempunyai 40 rumah dengan anggaran empat orang serumah, untuk menjalankan ujian saringan.

Beliau berkata tiada rekod mengenai keberadaan penduduk dalam tempoh 14 hari lepas juga menyebabkan PKPD di kawasan itu dilaksanakan hingga 17 Jun.

Tinjauan oleh Bernama hari ini mendapati kawasan itu dipagar dan dikawal oleh anggota polis dan tentera serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), manakala pergerakan orang keluar masuk ke kawasan itu sangat terhad.

Sementara itu, Wong menerusi kenyataan hari ini berkata Klinik Kesihatan Sandakan menyediakan ujian saringan COVID-19 secara percuma di Jabatan Pesakit Luar klinik tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai yang merasakan diri mereka terdedah kepada jangkitan COVID-19 terutama kontak rapat diminta tampil melakukan ujian saringan di klinik itu bagi membendung penularan COVID-19.

"Ujian saringan ini untuk tujuan pengesanan dan pengasingan awal...komitmen dan kerjasama semua pihak amatlah diperlukan dalam usaha memastikan keselamatan dan kesihatan masyarakat daerah Sandakan berada pada tahap yang baik," katanya.

Beliau berkata orang ramai boleh mengemukakan sebarang pertanyaan mengenai perkara itu dengan menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan menerusi talian 019-6055947.

Semalam, Sandakan mencatatkan enam kes baharu COVID-19 menjadikan keseluruhan 166 kes aktif pandemik tersebut di daerah itu.

-- BERNAMA

-- BERNAMA