Sejumlah 541 tapak binaan dikesan tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan diberi amaran sehingga semalam (Khamis).

Menteri Kanan Pertahanan , Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 3,174 tapak binaan patuh SOP dalam tempoh sama.

Pada masa sama, Penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut mengarahkan 19 tapak binaan untuk tutup kerana tidak mematuhi SOP.

"Semalam (16 Julai 2020), CIDB telah membuat pemeriksaan di 95 tapak binaan di seluruh Malaysia yang melibatkan 119 anggota penguat kuasa.

"Daripada jumlah itu, pemeriksaan CIDB telah mendapati 80 tapak binaan telah patuh SOP yang ditetapkan manakala 8 tapak binaan diberi nasihat kerana tidak mematuhi SOP. Tujuh tapak binaan lagi tidak beroperasi," katanya dalam satu kenyataan media mengenai PKPP pada Jumaat.

Mengulas mengenai SOP pembukaan sekolah, Ismail Sabri berkata, seperti yang telah ditetapkan dalam Garis Panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pihak sekolah hanya perlu memastikan penyediaan sabun atau cecair pembasmi kuman dan melakukan saringan gejala dan suhu badan.

"Pemakaian pelitup muka adalah tidak diwajibkan dan pihak sekolah hanya perlu menyediakan pelitup muka sekiranya terdapat pelajar atau kakitangan sekolah yang menunjukkan gejala semasa sesi persekolahan," ujarnya lagi.