Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membenarkan rakyat dari negara zon hijau iaitu Singapura dan Brunei memasuki negara ini tanpa perlu membuat permohonan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, rakyat dari kedua-dua negara itu juga tidak perlu menjalani saringan COVID-19 dan kuarantin di rumah.

"Bagaimanapun, kebenaran ini tertakluk kepada kelonggaran sama diberikan kepada rakyat Malaysia oleh kerajaan Singapura dan Brunei (dasar timbal balik) serta perbincangan lanjut Kementerian Luar (Wisma Putra) bersama rakan sejawatnya.

"Kelonggaran yang kita berikan mesti ada timbal balas, iaitu kedua-dua negara perlu memberi kebenaran kepada rakyat negara kita tanpa sekatan.

"Keputusan ini tertakluk kepada hasil rundingan Kementerian Luar Malaysia dan Kementerian Luar Singapura (dan Brunei). Kalau mereka bersetuju kita akan bersetuju memberikan kelonggaran dan membuka pintu negara kita," ujarnya dalam sidang media di sini pada Jumaat.