Kerusi yang sebelum ini menjadi pertikaian apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu meletakkan calonnya di situ dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) melalui penyandangnya Dr. Mohd Nasir Hashim turut mahu bertanding di bawah lambang parti mereka sendiri.
Namun, apabila penyelesaian berjaya dicapai untuk meletakkan Dr Mohd Nasir bertanding di bawah bendera PKR, seorang calon PAS, Ridzuan Ismail melalui wakilnya Azwan Shamsuddin turut menghantar borang pencalonannya untuk bertanding di kerusi tersebut.
Penamaan berlangsung di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Bandar Utama di Jalan BU3/1, Bandar Utama.
Tindakan itu membuatkan DUN Kota Damansara menjadi antara yang kerusi yang ‘panas’ di negeri Selangor apabila tiga calon Bebas turut menghantar borang pencalonan mereka.
Gelanggang yang pada mulanya dijangka hanya melibatkan pertarungan satu lawan satu antara BN dan PR kemudiannya terbuka luas dan pada 5 Mei ini, kawasan tersebut bakal ditandingi oleh enam calon termasuk seorang calon baru BN, Halimaton Saadiah Bohan.
Sehingga kini masih belum pasti motif tindakan yang dilakukan oleh calon Pas itu. Namun difahamkan ura-ura mengatakan bahawa calon Pas akan turut akan bertanding di DUN Kota Damansara telahpun tersebar meluas beberapa hari sebelum penamaan calon.
Segelintir penyokong Pakatan Rakyat yang ditemui selepas penamaan calon tersebut turut melahirkan rasa terkejut mereka apabila PAS turut bertanding di kawasan yang cukup sinonim dengan PKR itu.
“Tindakan calon tersebut hanya akan memecahkan pecahan undi kerana Pas dan PKR berada dalam satu pasukan dan matlamat yang sama. Kita telah berjaya capai kesepakatan dengan PSM namun kini datang pula ‘kawan’ yang akan jadi ‘lawan,” kata penyokong tersebut yang enggan dikenali.
Di samping itu juga, kerusi ini juga bakal menampilkan pertarungan menarik kerana daripada enam calon itu hanya ada seorang calon wanita iaitu wakil BN yang menggalas tugasan besar bertanding kali pertama dan menentang calon lelaki.
Menurut Halimaton, beliau mempunyai keyakinan besar untuk memenangi kerusi DUN Kota Damansara meskipun beliau adalah calon wanita.
“Saya tidak kisah berlawan dengan calon lelaki atau perempuan. Namun begitu, dengan keaddan sekarang saya perlu bekerja dua kali ganda dengan apa yang telah diusahakan sebelum ini,” kata Halimaton.
Menurutnya, beliau sudah lama mendampingi rakyat melalui jentera Wanita UMNO untuk mengetahui permasalahan mereka.
“Walaupun kali pertama dicalonkan ia tidak menjadi masalah kerana saya selalu bersama jentera Wanita UMNO dan mengikuti mereka di pilihan raya kecil dan merancang strategi untuk menang.”
“Antara perkara yang menjadi isu di Kota Damansara ialah kenaikan cukai tanah, sistem kutipan sampah, isu jalan raya yang selalu sesak dan perumahan rakyat (PPR) dan kita sudah pun merancang untuk menyelesaikan masalah ini andai diberikan mandat oleh penduduk Kota Damansara,” katanya lagi.
Dengan undi Pakatan Rakyat kini akan terpecah kepada dua kem, mampukah wakil baru BN mengambil peluang untuk memperoleh kemenangan kepada BN?
Dalam proses penamaan calon itu juga, Parlimen Subang menyaksikan pertandingan lima penjuru melibatkan BN, PKR, Berjasa dan dua calon bebas.
Calon Parti Berjasa, Mohamad Ismail berkata matlamat untuk beliau bertanding adalah untuk menyatukan undi orang Islam.
“Parlimen Subang sebelum ini tidak pernah mempunyai calon seorang Islam dan kita bertanding sebagai alternatif untuk orang Islam dan ini juga tanggungjawab kita kepada agama,” kata Mohamad.
Menurutnya, Parti Berjasa didukung oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) iaitu sebuah NGO Islam namun disebabkan tidak mahu menjadi calon bebas, Mohamad Ismail bertindak untuk meletakkan jawatannya dan bertanding di bawah nama Berjasa.