JOHOR BAHRU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Muar pada Isnin membuat ketetapan memutuskan sebarang bentuk kerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi Parlimen Muar.

Setiausaha PKR Cabang Muar, Esa Ali berkata, ini susulan keputusan MUDA untuk bertanding secara solo pada pilihan raya di enam negeri yang bakal berlangsung.

"Justeru keputusan tersebut telah melanggar kerjasama politik Kerajaan Perpaduan berbentuk ‘electoral pact’ di antara MUDA dan PH (Pakatan Harapan)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

MUDA pada Isnin menyatakan pendirian akan bertanding solo dalam pilihan raya di enam negeri yang akan diadakan dalam tempoh terdekat ini secara sendirian.

Pendirian itu membuatkan MUDA bakal bertembung dengan PH yang bekerjasama dengan BN serta Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai oleh Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan). - Sinar Harian