KUALA LUMPUR:Pakatan Harapan (PH) mengambil sikap keterbukaan untuk menerima mana-mana individu atau parti yang menerima prinisp, dasar dan tata kelola mereka untuk menyertai gabungan itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PKR dan PH masih berpegang kepada semangat untuk mengajak mana-mana pihak dengan syarat mematuhi dasar dan prinsip yang menolak rasuah, kronisme, keangkuhan, salah guna kuasa serta memperkayakan kelompok dan keluarga.

"Bagi PKR dan PH, kita ambil sikap terbuka, sesiapa sahaja atau mana-mana parti yang terima dasar, tata kelora yang baik, tolak rasuah, kronisme, salah guna kuasa, perkayakan keluarga kelompok dan kalau setuju ini semua, kita rangkul.

"Dengar jawapan saya... Saya setuju bukan dengan orang atau parti, tapi dengan prinsipnya.

"Ini bukan prinisp saya, ini prinsip yang diterima pakai menjadi landasan perjuangan PKR sebelum ini dan PH selama ini," katanya pada sidang akhbar selepas majlis Sepetang 2021 Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim anjuran Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Wilayah Persekutuan di sini, pada Ahad.

Ketika ditanya sama ada beliau masih yakin untuk mendapat sokongan UMNO untuk menjadi Perdana Menteri, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, ia terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk menentukan perkara itu.

"Ini proses terus. Saya sudah hantar warkah kepada Yang di-Pertuan Agong dan Agong baru sahaja habis kuarantin

"Itu budi bicara Yang di-Pertuang Agong. Jadi saya tak mahu komen lebih daripada itu," jawabnya ringkas.

BACAPemimpin BN sokong Anwar Ibrahim perlu keluar parti

BACA: Tun M kembali ke Pakatan Harapan? Ini jawapan Anwar Ibrahim...