Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, tidak menolak kemungkinan terdapat anggota Exco kerajaan negeri Selangor yang dipecat sebelum ini, bakal dilantik semula ke jawatan itu.

Ketua Penerangannya Shuhaimi Shafiei berkata semua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor daripada Pakatan Rakyat, dilihat mempunyai peluang menduduki kerusi Exco kerajaan negeri.

"Pada saya, semua yang ada dalam Pakatan Rakyat itu kalau diberi tanggungjawab (sebagai Exco), sedia bekerja sebagai satu pasukan termasuk mereka yang dipecat atau meletak jawatan.

"Ini termasuklah Adun Kajang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bagaimanapun keputusan pelantikan ini masih bergantung kepada kuasa Menteri Besar baharu (Mohamed Azmin Ali) dan perkenan Sultan Selangor," katanya kepada pemberita di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Shuhaimi yang juga Adun Sri Muda berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelantikan barisan Exco kerajaan negeri baharu di bawah pentadbiran Mohamed Azmin.

Komposisi anggota Exco kerajaan negeri semasa pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang merupakan menteri besar sebelum ini, merangkumi empat wakil PAS dan masing-masing tiga daripada DAP dan PKR.

Bagaimanapun Exco PAS yang terdiri daripada Iskandar Abdul Samad, Dr Ahmad Yunus Hairi, Sallehen Mukhyi dan Dr Halimah Ali meletak jawatan serta-merta selepas Mohamed Azmin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu, semalam.

Abdul Khalid sebelum itu telah memecat enam anggota Exco daripada DAP dan PKR kerana didakwa mengkhianati 10 akujanji dan sumpah kesetiaan terhadap negeri Selangor.

Mereka ialah Dr Rodziah Ismail, Elizabeth Wong Keat Ping dan Dr Daroyah Alwi daripada PKR manakala Exco DAP ialah Datuk Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah dan V. Ganapathi Rao.

Terdahulu, Mohamed Azmin dilaporkan berkata beliau akan menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah esok, bagi mendapat perkenan berhubung senarai barisan Exco baharu kerajaan negeri yang dipilih.

Katanya barisan Exco itu akan diketahui selewat-lewatnya esok selepas beliau mengadakan perbincangan kedua dengan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat hari ini.