TAIPING: Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Kompleks Rakan Muda Taiping di Kamunting dibuka hari ini, yang menjadi PKRC kedua terbesar selepas PKRC di Arena Badminton Perak di Ipoh.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Mohd Akmal Kamarudin berkata, PKRC berkenaan mempunyai kemudahan 630 katil sebagai permulaan walaupun kapasitinya boleh memuatkan sebanyak 780 katil.

Beliau berkata pembukaan PKRC untuk pesakit lelaki dan wanita itu dibuat berikutan pertambahan pesakit COVID-19 dan ia turut memberikan rawatan kepada pesakit kategori satu, dua dan tiga bagi kawasan utara seperti Gerik, Parit Buntar dan Kuala Kangsar.

"Sebagai permulaan seramai 200 pesakit akan ditempatkan di PKRC di sini dan seramai 30 pesakit awal dari Parit Buntar akan menerima rawatan di sini tengah hari ini.

"Pembukaan PKRC ini menunjukkan kerajaan negeri serius dalam menghadapi penularan COVID-19 di samping memberikan keselesaan ketika rawatan kepada mereka yang ditempatkan di sini," katanya dalam sidang media selepas melawat kompleks tersebut hari ini.

Sebelum ini Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, tiga PKRC akan dibuka membabitkan Kompleks Rakan Muda Taiping, Institut Latihan Statistik Sungkai (95 katil) dan PKRC swasta di Hotel Virgo Manjung (200 katil).

Selain PKRC Arena Badminton Perak (520 katil), dua lagi PKRC sudah dibuka iaitu PKRC di Kolej Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta (570 katil) dan PKRC khas Orang Asli di Kem PLKN Sinaran Suria, Sungkai (470 katil).

Mohd Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Selama turut melawat PPV di Pusat Latihan Telekom yang mulai dibuka hari ini, antara tiga PPV beroperasi selain PPV Universiti Pendidikan Sultan Azlan Shah dan PPV Buddhist Tzu Chi di Ipoh.

Perak dijadualkan menerima 1.013 juta dos vaksin pada bulan ini dengan 150,720 dos sudah diterima setakat ini, manakala selebihnya akan tiba secara berperingkat.

Berdasarkan data yang dikongsikan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 hingga 13 Ogos, seramai 982,784 orang di Perak telah menerima dos pertama dan 630,240 orang menerima dos kedua.

-- BERNAMA