KUALA LUMPUR : Program E-BAKAT yang diusahakan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dijangka memberi manfaat kepada lebih 12,000 isteri kepada anggota tentera.

Fasa pertama program tersebut yang akan bermula dalam masa terdekat memberi tumpuan kepada pembangunan platform latihan dalam talian dan untuk fasa kedua, ia membabitkan platform “e-market place”.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, seramai 100 peserta terlibat untuk fasa pertama dan sehingga kini, seramai 1,000 ahli BAKAT menyatakan minat untuk menyertai program tersebut.

“Statistik, surirumah di ATM ada 34,000 orang. LLP (Lain-Lain Pangkat) dalam 12,000, ini adalah statistik semasa. Kita berharap program ini dapat kita tambahkan lagi dan sasaran utama adalah mereka yang dalam 12,000 itu untuk masa sekarang.

“Bila dan berapa lama akan ambil masa ini, itu bergantung kepada kejayaan program ini daripada segi teknikal dan kedua, dari segi sumber kewangan. Kalau kita satukan kedua-dua ini dan bagi sedikit pushing factor, we should be able to do that.

“Pendekatan ini akan, satu, menambah sumber pendapatan keluarga. Kedua, adalah menjadi satu ‘second career’ untuk anggota kita yang akan berpencen kemudian hari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian melibatkan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT), MGate Emerging Technologies Sdn Bhd dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di sini pada Jumaat.

E-BAKAT merupakan inisiatif dirangka di bawah Program Transformasi BAKAT: Halatuju Kedua – Pembangunan Ekonomi Keluarga.

Ia bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan ahli BAKAT untuk membentuk mereka menjadi seorang usahawan berjaya melalui perancangan dan platform yang  sistematik.