TAIPING: Zoo Taiping & Night Safari melancarkan ‘MyZooTaiping’ sebagai langkah transformasi mendigitalkan pelancongan menerusi platform maya dan mesra pengguna.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, pelaksaan platform  itu membolehkan Zoo Taiping & Night Safari meningkatkan jumlah pengunjung.

Menurutnya, ini kerana MyZooTaiping bakal boleh dibuka dan dikunjungi oleh pelawat 24 jam sehari, tidak mengira apa situasi dan dari mana-mana pelusuk dunia asalkan mereka mempunyai capaian internet.  

“Platform ‘MyZooTaiping’ merupakan dimensi baharu bagi sektor pelancongan dan rekreasi yang direka bentuk dengan penambahan komponen unik secara dalam talian yang menyediakan input berbentuk pendidikan berterusan yang menjurus kepada sains pemuliharaan haiwan, meningkatkan kesedaran masyarakat tentang alam semulajadi,” katanya ketika melancarkan platform itu sempena Sambutan Hari Zoo Sedunia 2021, di sini, hari ini.

Nolee Ashilin berkata, pada masa yang sama, platform itu akan menimbulkan minat masyarakat untuk berkunjung ke Zoo Taiping & Night Safari secara fizikal.



Menurutnya, transformasi pendigitalan kini bukan lagi elemen kemewahan tetapi keperluan terutamanya bagi perniagaan yang menghadapi pelbagai cabaran dalam tempoh yang tidak pernah berlaku sebelum ini berikutan pandemik COVID-19. 

“Ini adalah kerana pandemik telah mengubah tatalaku pelanggan dan dalam konteks pelancongan, semua pemain-pemain industri serta entiti-entiti pelancongan perlu menyedari bahawa mereka juga perlu berubah.,” ujarnya.

Perkara ini juga, kata beliau, seiring dengan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 yang menggariskan pengukuhan transformasi digitalisasi pelancongan sebagai salah satu teras strategik utama.

Menerusi teras itu, tambah beliau, transformasi tersebut dianggap satu hala tuju yang dinamik dan strategik dalam memulihkan semula industri pelancongan di Malaysia.

Beliau berharap, MyZooTaiping berupaya menjadi ‘milestone’ dalam pendigitalan sektor pelancongan di Taiping, sekurang-kurangnya Zoo Taiping & Night Safari yang merupakan produk utama pelancongan di Taiping mula mengorak langkah awal ke arah itu.

“Diharap ia juga menjadi pemangkin serta penggalak kepada rakan-rakan dalam industri yang sama,” katanya.