Tiada keperluan untuk menangguhkan perlaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang baharu, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

"Walaupun saya akui terdapat kekangan, namun kita harus pandang ke hadapan dan cari cara bagi mengatasinya," kata beliau.

Hishammuddin menjawab soalan tambahan dari Nasrudin Hassan Tantawi (PAS-Temerloh) di Dewan Rakyat hari ini.

Kata Nasrudin, perlaksanaan PLKN wajar ditangguh kerana masih memerlukan penelitian terhadap beberapa aspek dalam program tersebut.

"Adakah ia mampu menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi belia kini?" tanya beliau.

Sebagai respon kepada pertanyaan Nasrudin, Hishammuddin mengakui perlaksanaan PLKN tidak mampu menyelesaikan semua masalah yang dihadapi golongan belia.

"Memang ianya tidak dapat selesaikan semua masalah tetapi ia dapat membantu.

"Saya tidak setuju dengan cadangan tersebut. Jangan politikkan perkara ini kerana yang akan rugi adalah anak-anak kita juga," kata Hishammuddin.


Sebelum Nasrudin menanyakan soalan tambahan, Hishammuddin menjawab soalan dari Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) tentang sejauh manakah perancangan Kementerian Pertahanan bekerjasama dengan agensi lain bagi pemantapan modul PLKN untuk dimulakan pada tahun 2016.

Jelas Hishammuddin, oleh sebab cabaran yang dihadapi adalah dari segi ekonomi, kementeriannya bekerjasama dengan kementerian lain seperti Kementerian Belia dan Sukan serta agensi lain bagi mendapatkan input tambahan.

"Selain itu, kami juga lihat kepada penggunaan infrastruktur sedia ada yang boleh ditawarkan pihak terbabit," kata Hishammuddin.

Bermula 17 Oktober lalu, 469 pelatih Projek Perintis Transformasi PLKN 2.0 menjalani latihan di Kem PLKN Princess Haliza, Sepang.

Sejumlah 1,600 calon telah ditawarkan untuk menjalani projek perintis berkenaan dan selebihnya, iaitu seramai 115 orang, menerusi pengambilan secara sukarela.

Projek yang berlangsung lapan minggu itu lebih pendek berbanding tempoh latihan PLKN sebelum ini iaitu 12 minggu.