Plus Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan jumlah lalulintas di lebuh raya kendaliannya akan meningkat ke 1.6 juta kenderaan setiap hari ketika cuti Hari Raya Aidilfitri mendatang, terutamanya diantara Julai 16 hingga Julai 20. Angka ini adalah penambahan 20% berbanding hari-hari biasa.
(Sumber gambar: mailer_diablo / CC-BY-SA 3.0)
Pengarah Urusan PLUS, Dato’ Noorizah Hj. Abd. Hamid berkata bahawa pihak syarikat akan menjalankan beberapa tindakan untuk menampung jumlah kenderaan ini, seterusnya agar para pengguna akan dapat menempuh perjalanan yang lebih lancar.
Antara stretagi yang telah diumumkan adalah rebat sehingga 50% untuk mereka yang menggunakan lebuh raya PLUS pada luar hari-hari puncak.
Perincian mengenai rebat ini juga ada diberikan – jumlah rebat toll ini dapat ditebus di semua pusat khidmat pelanggan di lebuh raya-lebuh raya PLUS diantara Ogos 15 hingga November 14 tahun ini.
Tambahan lagi, Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA, Travel Time Advisory) juga sudah diumumkan, khas untuk waktu perjalanan diantara Julai 16 hingga Julai 20. (Lihat di bawah)
(Klik untuk imej penuh)
Dato’ Noorizah menyambung yang jumlah kakitangan juga akan ditingkat; termasuk di pusat pengawasan lebuh raya dan juga pasukan PLUSRonda.
PLUS turut telah menyiapkan sepenuhnya Projek Pelebaran Lorong Keempat diantara Shah Alam-Rawang-Jalan Duta dan Nilai Utara-Seremban. Di samping itu, PLUS akan membuka persimpangan bertingkat Bandar Ainsdale bermula Julai 10. Persimpangan ini terletak lima kilometer daripada persimpangan bertingkat Seremban sedia ada, dan diharap akan dapat menyuraikan lalulintas di lokasi ini.
Dalam pada itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat trafik terkini di Lebuhraya Utara-Selatan menerusi perkhidmatan Twitter PLUSTrafik, aplikasi PLUS Mobile Apps, talian PLUSLine 1800 88 0000, papan tanda elektronik di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara.