KUALA LUMPUR: Trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dijangka meningkat antara 1.1 hingga 1.3 juta kenderaan sehari apabila kerajaan mengumumkan rentas negeri dibenarkan semula berikutan 90 peratus populasi dewasa telah divaksinasi.

PLUS menjangkakan ramai penduduk Lembah Klang serta dari negeri-negeri lain akan merebut peluang ini untuk melakukan perjalanan untuk bertemu ahli keluarga dan sahabat handai.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad Datuk Zakaria Ahmad Zabidi dalam kenyataan hari ini berkata PLUS telah bersedia untuk pembukaan semula perjalanan antara negeri dan bersedia untuk kemasukan jumlah kenderaan yang tinggi.

"Lebuhraya PLUS telah bersedia untuk pembukaan semula perjalanan antara negeri dan semua 94 plaza tol di seluruh wilayah utara dan selatan bersedia untuk menerima pertambahan kenderaan sebaik sahaja rentas negeri dibenarkan," katanya.

Zakaria juga mengingatkan pengguna lebuh raya agar sentiasa memastikan tahap keselamatan mereka dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu memeriksa MySejahtera, pemakaian pelitup muka yang betul, penjarakan fizikal dan pensanitasi tangan, yang perlu dipatuhi di sepanjang lebuh raya.

Selain itu, kerjasama dengan Polis Trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama kakitangan PLUS di sepanjang 1,130 km itu dapat meningkatkan penguatkuasaan di lebuh raya tersebut.