KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru umat Islam di negara ini mengukuhkan diri dengan nilai-nilai mulia berlandaskan al-Quran dan Sunnah.

Sempena Malaysia #QuranHour Hari Kebangsaan yang akan berlangsung esok, beliau mengajak orang ramai untuk sama-sama mendoakan Keluarga Malaysia.

"Sebagai Keluarga Malaysia, sama-sama kita doakan rakyat Negara ini dapat mengukuhkan diri dengan nilai-nilai mulia dalam mengharungi cabaran semasa.

"Dengan berpandukan al-Quran dan Sunnah, terutamanya buat Muslim di negara ini, semoga ia menjadi solusi daripada Ilahi untuk menenangkan dan mendamaikan jiwa kita semua," kata beliau.

Bertemakan Formula Malaysia Berbudi dan Penyayang, Malaysia #QuranHour akan berlangsung esok, 30 Ogos bermula jam 12 hingga 1 tengah hari.