KUALA LUMPUR: Dalam ucapan sulung sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru kepada seluruh Ahli Dewan Rakyat sama ada di dalam atau di luar kerajaan agar menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara.

Menurut Ismail Sabri, kesemua ahli politik harus berfikiran terbuka dan berlapang dada menerima, mencungkil persamaan serta mengenepikan perbezaan.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua penggubal dasar untuk bersama-sama bersepakat untuk menyelamatkan Keluarga Malaysia.

“Saya menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa ini sifatnya lebih inklusif. Ia merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum. Di mana, kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua.

“Sebab itu, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi saya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga,” kata Ismail Sabri dalam ucapan yang disiarkan secara langsung pada Ahad.

Ismail Sabri, 61, yang juga Ahli Parlimen Bera mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Sabtu di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.