KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan untuk menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes penggunaan kalimah "Allah" dalam penerbitan oleh penganut Kristian akan dijelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, perkara berkenaan akan dijawab Anwar pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) sejurus mesyuarat Dewan Rakyat bermula 10 pagi.

Anwar dijadual berbuat demikian bagi menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan telah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja dan berunding dengan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri sebelum membuat keputusan sedemikian.

Pada 15 Mei, kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri telah menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama bagi tujuan pembelajaran.

Pada sesi MQT, Rodziah Ismail (PH-Ampang) juga dijadual bertanya mengenai beberapa isu berkaitan tatakelola kerajaan dalam melaksanakan rangkaian Internet 5G manakala Tan Hong Ping (PH-Bakri) ingin tahu jika masa operasi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) akan dipanjangkan kepada 24 jam.

Turut menjadi tumpuan hari ini adalah persoalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) pada sesi soal jawab mengenai perancangan kerajaan mengatasi masalah sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) sehingga menyebabkan kesesakan di plaza tol.

Selain itu, Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) pula ingin tahu apakah langkah Kementerian Pendidikan bagi memastikan takwim persekolahan dipatuhi semua pihak dan bilakah tahun persekolahan dapat kembali dimulakan pada awal Januari.

Sejurus selepas sesi soal jawab, Rang Undang-Undang Kesihatan Mental (Pindaan) 2023, Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-Undang Fi (Jabatan Penyiaran Malaysia) (Pengesahan) 2023 dijangka akan dibaca buat kali kedua dan dibahaskan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini bersidang selama 11 hari bermula 22 hingga 25 Mei dan bersambung semula pada 6 hingga 15 Jun ini. - BERNAMA