KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Kementerian Kesihatan (KKM) agar memberi rawatan terbaik kepada Datuk Seri Najib Razak.

Menerusi ciapan di Twitternya, Ismail Sabri turut mendoakan agar Najib diberikan kesembuhan atas masalah kesihatan yang sedang dihadapinya.

"Saya telah dimaklumkan mengenai keadaan kesihatan Dato’ Sri Najib Tun Razak.

"Saya telah mengarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya memberikan rawatan yang terbaik diperlukan beliau.

"Saya doakan semoga beliau diberikan kesembuhan," tulis beliau.


Awal hari ini, Pegawai Khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi memaklumkan, tekanan darah Najib dilapor berada pada tahap tinggi dan berbahaya susulan pertukaran ubat yang diberikan untuk merawat masalah ulser di dalam perutnya.

Susulan keadaan tersebut, Najib yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang memohon untuk pemerhatian di HKL.

Kesihatan Najib | KKM sahkan beri ubat sama - Dr Noor Hisham

Permohonan itu, bagaimanapun, didakwa ditolak oleh pegawai perubatan yang merawatnya.

Sementara itu, KKM mengesahkan ubat yang diberikan kepada Najib semasa menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) adalah jenis sama dan dalam senarai ubatan kementerian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bekas Perdana Menteri itu juga berada dalam keadaan sihat sebelum dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan pada 9 September lalu.

Dr Noor Hisham memaklumkan, Najib telah dimasukkan ke HKL pada hari Jumaat sebagai kes elektif (bukan kecemasan) untuk memastikan kesihatan beliau berada pada tahap yang baik dan optimum.