KUALA LUMPUR: Perdana Menteri bakal mengumumkan berita gembira buat penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam yang dijadualkan pada 30 Ogos nanti.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini sebagai penghargaan Kerajaan Keluarga Malaysia terhadap pengorbanan kalangan penjawat awam.

"Sehubungan itu, Kerajaan Keluarga Malaysia sentiasa menghargai pengorbanan para penjawat awam di bawah pimpinan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

"Insya-Allah, kita akan mengumumkan sesuatu yang menceriakan bagi mengubat duka lara para penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam yang dijadualkan pada 30 Ogos nanti.

"Tunggulah, saya pun sedang fikir ni."

Beliau berkata demikian sempena perasmian Simposium Keluarga Malaysia: Pencapaian dan Harapan, di Putrajaya, pada Ahad.

Keluarga Malaysia | Berita gembira menanti penjawat awam – PM


Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, negara sering dilanda musibah bencana alam banjir besar yang tidak dijangka dan ancaman keselamatan termasuk di perbatasan negara.

Jelasnya, di saat negara sedang mengalami kesusahan, pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Jabatan Kesihatan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan pelbagai agensi kerajaan lain bertugas tanpa lengah dan penuh dedikasi.

Perdana Menteri dalam masa yang sama turut menzahirkan penghargaan buat para aktivis masyarakat yang cekal berkhidmat kepada negara, khususnya melalui pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.