PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan lebih banyak aktiviti sukan dan riadah akan dibuka selepas kelonggaran pertama yang diberikan bermula 9 September lepas.

Menurutnya, sejak kelonggaran tersebut, aktiviti sukan semakin rancak malah lebih 1.4 juta peserta telah melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sukan termasuklah sukan bermotor dan sukan ekstrem.

Berucap pada Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara (HSN) 2021 di Putrajaya, beliau berharap Keluarga Malaysia menjadikan sukan dalam norma baharu sebagai amalan harian untuk kekal sihat, aktif dan cergas.


"InsyaAllah akan lebih banyak keizinan yang bersesuaian dengan faktor kesihatan akan diberikan pada masa hadapan.

"Sebab itu, sepanjang tempoh bersukan dan beriadah, teruslah mematuhi SOP yang ditetapkan, demi nyawa dan kesihatan seluruh Keluarga Malaysia," katanya dalam ucapan tersebut

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Timbalannya, Datuk Seri Ti Lian Ker.

 
Sumber Facebook mysukantv

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang menggubal Pelan Tindakan Industri Sukan Negara.

Hari Sukan Negara | Lebih banyak kelonggaran aktiviti sukan, riadah


Menurutnya, pelan yang bersifat komprehensif dan kompetitif itu bertujuan menjadikan sukan sebagai sumber baharu dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara, seiring perkembangan di peringkat global.

"Pelan ini amat wajar dibentuk setelah mengambil kira analisis berasaskan data ekonomi dunia yang menunjukkan nilai pasaran global sukan mencecah hampir AS$388.3 bilion pada tahun 2020 dan dijangka
terus positif berkembang dan mencecah AS$599 bilion pada tahun 2025.

"Data yang diperolehi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada tahun 2020 pula menunjukkan seramai 32.7 juta rakyat Malaysia telah membelanjakan RM430 juta bagi tujuan sukan dan riadah," ujarnya.

Tambah beliau, pelan tersebut merupakan sebahagian daripada hala tuju perancangan dan pembangunan sukan yang sedang dibentuk KBS melalui Visi Sukan Negara 2030.