SHAH ALAM: Majlis Bertindak Pendidikan Kebangsaan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak tuntutan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) supaya kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, pengiktirafan itu tidak selari dengan sistem pendidikan kebangsaan yang sudah sedia ada iaitu menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar.

Menurut beliau, tuntutan Dong Zong untuk mengiktiraf UEC adalah bertentangan dengan aspirasi negara berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

"Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlulah dimartabatkan oleh Kementerian Pendidikan manakala UEC ialah sistem peperiksaan yang disediakan oleh persatuan sekolah swasta Cina bercanggah dengan pembinaan jati diri negara bangsa Malaysia.

"Kerajaan juga digesa tidak meluluskan sebarang peruntukan kepada sekolah dan pusat pengajian swasta yang dituntut oleh Dong Zong," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan secara bersama 11 wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang menghadiri pertemuan bagi membincangkan mengenai isu UEC.

NGO terbabit ialah Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) yang diwakili Datuk Zainal Abidin Borhan; wakil Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Dr Mohamad Saleeh Rahamad; Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPPM), Datuk Abdul Raof Hussin dan wakil Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Mahmud Hishamuddin Abdul Rashid.

Wakil Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Mohd Sahandri Gani; wakil Persatuan Penulis Budiman Malaysia, Profesor Dr Abd Halim Ali; wakil Persatuan Penulis Budiman Malaysia, Profesor Madya Dr Abdul Halim Hussein dan Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti,Majlis Perundangan Melayu (MPM), Kamal Shukri Abdullah Sani.

Turut serta ialah wakil KOR AKWAM 181, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, wakil Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohamad Zai Mustafa; wakil Persatuan Sejarah Batu Pahat, Ramlee Wahab dan Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md Kechik.

Tambah Zainal Abidin, pihaknya bersedia untuk memberikan kerjasama kepada kerajaan dalam perkongsian kepakaran dan penasihatan demi negara yang sejahtera dan bersatu padu.

"Majlis Bertindak Pendidikan Kebangsaan menjunjung tinggi hasrat Kebawah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membentuk Kerajaan Perpaduan yang dapat menjamin kestabilan negara berteraskan prinsip Kedaulatan Undang-undang dan Keluhuran Perlembagaan," ujarnya. -Sinar Harian