KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberi jaminan bahawa pindaan Perlembagaan berkait Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibentangkan pada minggu depan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, jaminan diberikan kepada barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang mengadakan pertemuan kira-kira 40 minit dengan Perdana Menteri di Parlimen pada Selasa.

"Kami mendapat jaminan daripada Perdana Menteri bahawa satu pindaan Perlembagaan terkait Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibentang minggu depan," katanya dalam perkongsian di Facebooknya di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu memberitahu, antara lain PH turut mencadangkan agar prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilonggarkan bagi memudahkan proses berkempen.

Pada masa yang sama katanya, PH mengulangi pendirian mereka berhubung penjelasan beliau di Parlimen berhubung peranan dan tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang harus bertindak tanpa bersikap selektif.

Selain Anwar, pertemuan kira-kira pukul 2 petang itu turut dihadiri Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri bersetuju membentang dan memuktamadkan RUU Anti Lompat Parti pada persidangan Dewan Rakyat bermula 28 Februari.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, keputusan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan PH.

Beliau berkata, kerajaan sedang mengkaji sama ada terdapat keperluan meminda Perlembagaan Persekutuan atau mewujudkan undang-undang baharu sebelum RUU Anti Lompat Parti boleh dibentangkan.