Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan akan melipatgandakan usaha untuk memajukan taraf sosio-ekonomi masyarakat India di negara ini.

Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mengutamakan keperluan dan kehendak rakyat sebagai agenda utama, sedar masalah dihadapi masyarakat itu dan sedang memberi perhatian serius untuk menyelesaikannya.

Katanya sumbangan masyarakat India kepada negara amat besar dan sehubungan itu kerajaan menetapkan agenda untuk membantu masyarakat itu, khususnya generasi baru untuk keluar daripada masalah ekonomi dan sosial.

"Saya berikrar dan bagi pihak kerajaan BN kita akan melipatgandakan lagi usaha untuk memajukan lagi masyarakat kaum India dan rakyat Malaysia keseluruhannya, dan kita mampu melakukannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) Negeri Selangor Bersama Perdana Menteri di Dataran Tesco Bandar Rincang, Semenyih, di sini hari ini yang dihadiri kira-kira 15,000 anggota IPF dan parti komponen BN.