Johor tetap menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) walau pembangkang kini berusaha keras untuk merampas negeri itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata peningkatan sokongan di setiap negeri bukti impian pembangkang tidak akan tercapai.

''Memang pembangkang sedang berusaha keras untuk dapatkan Johor. Kita tahu sokongan untuk pembangkang sudah tidak ada di Selangor,'' ujarnya

Beliau berkata demikian semasa sidang media pada majlis bersama rakyat di Dataran Pasar Lambak Pekan Nenas.

Kira-kira lima ribu masyarakat hadir pada majlis itu.

Pada majlis itu juga, calon Parlimen P164 Tanjung Piai, Datuk Wee Jeck Seng dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N55, Pekan Nenas, Wong You Fong dan N56, Kukup, Suhaimi Salleh diperkenalkan.

Dalam pada itu, kepimpinan dan calon BN yang mewakili setiap kawasan merupakan yang terbaik untuk rakyat Johor.

''Bukan sekejap kita di negeri ini. Betapa banyak kemajuan yang sudah dibawa untuk penduduk dan pembangkang tidak boleh semudah itu untuk menawan Johor.

''Kita bariskan kepimpinan terbaik dan barisan pemimpin lama yang menjadi pembimbing terbaik kepada calon baru BN,'' katanya.

Najib kemudian makan tengah hari di Bangunan MCA Pekan Nenas.

Beliau dalam rangka lawatan kerja sehari ke beberapa kawasan Parlimen di Johor.