KAJANG: Undi percaya akan menjadi usul pertama yang akan dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan pada 19 Disember depan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkara tersebut dibuat untuk memastikan kerajaan pimpinannya mendapat kepercayaan setiap ahli Dewan Rakyat.

“Usul pertama yang akan dibawa oleh kerajaan perpaduan pimpinan saya adalah usul undi percaya.

“Keputusan ini diambil bagi memastikan tidak timbul isu mengenai keabsahan kepimpinan saya,” katanya dalam sidang media pertamanya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, di Sungai Long Golf and Country Club di sini, pada Khamis.

[LAPOR LANGSUNG] Pasca PRU15: Anwar Ibrahim Perdana Menteri ke-10 - Istana Negara

Ujar beliau lagi, kerajaan perpaduan yang diketuai oleh Pakatan Harapan (PH) ini akan disertai dua parti komponen besar iaitu Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mana masing-masing memperoleh 30 dan 23 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

“Jumlah induk terbesar menyertai PH iaitu BN dan GPS. GPS bersama dalam kerajaan PH.

“Sebagai sebuah kerajaan perpaduan juga, kami bersikap terbuka dengan mana-mana penyertaan. Rundingan dibuka buat semua.

“Parti Warisan, Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM)... juga tidak menolak penyertaan parti-parti lain,” jelas beliau.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Pelantikan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 telah berlangsung pada jam 5 petang tadi di lstana Negara.