KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual memberikan maklumat lebih terperinci frasa 'Keluarga Malaysia' yang menjadi konsep Kerajaan Malaysia pimpinannya untuk bekerja bersama-sama memulihkan negara daripada masalah dan kesan pandemik COVID-19, hari ini.

Prapelancaran Keluarga Malaysia itu akan disempurnakan Perdana Menteri pada majlis yang akan disiarkan secara langsung menerusi siaran televisyen.

Pendekatan yang julung kali disebut dalam ucapan sulung Perdana Menteri pada 22 Ogos antara lain mengajak rakyat negara ini mengetepikan perbezaan dalam menggembleng tenaga untuk memulihkan semula negara dalam merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Konsep 'Keluarga Malaysia' yang bersifat inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum serta mengajak semua rakyat di negara ini bersama-sama sebagai sebuah keluarga yang utuh.

Pelancaran rasmi konsep Keluarga Malaysia dijadual diadakan pada 22 Okt di Kuching, Sarawak yang dikenali sebagai bandar raya perpaduan.

Antara hasil awal Keluarga Malaysia dalam mengetepikan perbezaan politik untuk mencapai kestabilan dapat dilihat menerusi Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani pada 13 Sept lepas antara kerajaan dan blok pembangkang, Pakatan Harapan.

Memorandum itu, yang pertama dalam sejarah negara, mencorak pembentukan politik lebih matang, sekali gus mempamerkan kesepakatan untuk mengetepikan agenda politik dalam usaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

Kementerian Perpaduan Negara pula sedang membangunkan Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia untuk menyokong aspirasi Keluarga Malaysia bagi mencapai hasrat ditetapkan dengan menjadikan perlembagaan dan Rukun Negara sebagai teras utama dalam pembinaan masyarakat harmoni dan sejahtera.

Pengamalan nilai-nilai murni akan menjadi tunjang bagi melahirkan sebuah Keluarga Malaysia yang makmur berasaskan kepercayaan, perpaduan dan toleransi.

-- BERNAMA