KUALA LUMPUR: Kerajaan melancarkan Skuad Keluarga Malaysia yang menyelaraskan semua mekanisme penyampaian bantuan untuk rakyat yang memerlukan di seluruh negara di bawah satu jentera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Skuad Keluarga Malaysia itu diterajui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Ia adalah kolaborasi pelbagai agensi di bawah kementerian berbeza, pihak swasta dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Bagi pelancaran hari ini, seramai 10,000 anggota Skuad Keluarga Malaysia telah bersedia untuk digerakkan ke segenap pelusuk negara, bagi membantu rakyat yang terkesan ekoran pandemik.

"Jumlah ini dijangka bertambah apabila lebih banyak kementerian dan agensi serta sukarelawan Keluarga Malaysia mendaftarkan diri," katanya ketika merasmikan Majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia di  Angkasapuri, di sini pada Khamis.


Perdana Menteri berkata, pelancaran Skuad Keluarga Malaysia dibentuk hasil pelbagai gerak kerja dan usaha merentas kementerian dan agensi yang diatur bagi memudah cara pelaksanaan program dan inisiatif untuk rakyat dengan pantas serta berkesan.

Beliau memberitahu, ia merupakan langkah untuk menyemai budaya khidmat, berorientasikan prestasi bagi meringankan beban Keluarga Malaysia, yang memerlukan bantuan dan sokongan.

Justeru katanya, dalam usaha ini, kerajaan akan memastikan setiap produk Keluarga Malaysia memberi impak positif seperti yang diharapkan.

"Oleh itu, kerajaan turut memperkenalkan mekanisme Keberhasilan Kebahagiaan  yang juga merupakan pelengkap kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Garis panduan ini akan dibentuk berasaskan nilai sejagat sedia ada, termasuk Indeks Kebahagiaan yang diguna pakai kebanyakan negara di seluruh dunia," katanya.

Bagi menjayakan inisiatif Skuad Keluarga Malaysia, lima kementerian utama dipilih sebagai kementerian pelaksaan, katanya.

Lima kementerian itu adalah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Perpaduan Negara.

Sementara dua lagi meliputi Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Tugas-tugas Khas) dan JPM (Hal Ehwal Agama).