Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata mekanisme yang konkrit lagi tuntas mesti dibina agar segala langkah dan perancangan dapat dilaksanakan dengan jayanya untuk mewajahkan hubungan diplomat antara Malaysia dan China bagi 40 tahun lagi.

Beliau mencadangkan mekanisme lima perkara - memperhebat dan memperkasa hubungan sosiobudaya, nilai-nilai dan kemanusiaan; memberi nilai tambah kepada kursi Pengajian Melayu kerajaan Malaysia di China; meningkatkan kerjasama penerbitan dan penterjemahan; membina kolaborasi dalam penyelidikan; serta memperhebat penghantaran dan pertukaran pelajar dan peserta Malaysia-China secara berkala.

Najib berkata demikian semasa merasmikan 'Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu 2014 Hubungan Malaysia-China' 30 Mei-2 Jun 2014, di Beijing Foreign Studies University (BFSU)" pada Jumaat.

Beliau berkata langkah memperhebat dan memperkasa hubungan sosiobudaya, nilai-nilai dan kemanusiaan itu penting dalam membina sebuah negara bangsa yang unggul dengan berteraskan nilai-nilai murni dan kemanusiaan.

"Justeru, hubungan kerjasama antara Malaysia-China yang melibatkan pelbagai aktiviti dan kegiatan kebudayaan perlu sentiasa diperkukuh. Penekanan kepada aspek nilai-nilai murni dan sejagat haruslah dipermantap lagi, kerjasama dalam bidang kemanusiaan perlu dibina dan diperkasa untuk manfaat bersama," katanya. Bagi langkah kedua - memberi nilai tambah kepada kursi Pengajian Melayu kerajaan Malaysia di China, Najib berkata kursi ini yang mula diisi pada tahun 2008 perlu diberi 'nilai tambah' supaya menjadi lebih proaktif dan produktif.

"Ia tidak harus kekal bergerak secara sama atau di takuk lama, tetapi, kaedah dan pendekatan baharu perlu difikirkan bagi memantap dan meluaskan peranannya.

"Misalnya, ia juga boleh berperanan aktif dalam kebudayaan, nilai-nilai dan kemanusiaan, ke seluruh kota-kota di negara China yang menawarkan program bahasa atau pengajian Melayu," katanya.

Dalam perkara ketiga - meningkatkan kerjasama penerbitan dan penterjemahan - Najib berkata usaha meningkatkan kerjasama penerbitan dengan negara China, terutama dalam penterjemahan karya besar bagi kedua-dua buah negara oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP) perlu diperkukuh.

Untuk membina kolaborasi dalam penyelidikan, perdana menteri berkata melalui langkah itu, penyelidik dari Malaysia boleh bekerjasama dengan penyelidik dari China dalam menjalankan kajian ilmiah dan menyelongkar sumber-sumber serta catatan-catatan sejarah.

"Ini kerana terdapat banyak sumber dari China dan sejarah tamadun lamanya yang berwibawa, berkualiti serta sarat dengan maklumat tentang perkembangan politik, ekonomi, sosial dan hubungan antarabangsa," katanya.

Perdana menteri berkata untuk memperhebat penghantaran dan pertukaran pelajar serta peserta Malaysia-China secara berkala, perlu ditambah lagi peluang dan insentif kepada sejumlah pelajar dan peserta yang layak dari China untuk tiba ke Malaysia bagi menyambung pengajian mereka dalam bidang bahasa Melayu dan Sastera.

"Jumlah tersebut perlu dipertingkat penyertaannya dari semasa ke semasa.

"Justeru, fasa baharu hubungan diplomat antara Malaysia dan China 40 tahun ke hadapan ini, selain daripada bidang ekonomi, pendidikan, teknologi dan seumpama dengannya, fokus boleh diperluas kepada aspek sosiobudaya, nilai-nilai dan kemanusiaan," katanya.