KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) bagi lawatan kerja sehari pada Sabtu.

Beliau tiba tepat pada jam 10.50 pagi diiring Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Ketibaan Ismail Sabri di terminal KIA disambut oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, serta beberapa pemimpin negeri lain.

Ini merupakan lawatan kerja rasmi pertama beliau ke negeri Bumi Kenyalang selepas menyandang jawatan Perdana Menteri sejak 20 Ogos lalu.

Beliau dijadual menghadiri beberapa program antaranya Taklimat Pembangunan Negeri oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) disusuli lawatan ke tapak pembinaan Hospital Petra Jaya untuk melihat perkembangan terkini projek berkenaan pada  jam 3 petang.

Pada sebelah malam, Ismail Sabri akan menghadiri Majlis Pelancaran Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).