Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menetapkan enam falsafah dan garis besar haluan perkhidmatan awam menuju Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Jelas Perdana Menteri, ia usaha membina ketamadunan yang lebih cerah demi mewajah masa depan penjawat awam dalam aspirasi TN50.

Jelasnya, kerangka maqasid syariah yang dipegang kerajaan mensasarkan kepada perkara yang mendatangkan kebaikan kepada rakyat terbanyak, dengan mengambil kira kemampuan kebertanggungjawaban kerajaan mengikut tiga keutamaan.

"Ia termasuk dharuriyat iaitu di peringkat keperluan asas paling utama, hajiyyat iaitu kehendak dan keperluan umum yang membawa kepada kelapangan hidup tetapi tidak terlalu mendesak dan tahsiniyat iaitu penghias dan pengindah dalam memberi kesempurnaan hidup," katanya semasa berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-15 (Mappa) di sini hari ini.

Pada majlis sama Datuk Seri Najib turut melancarkan Buku Falsafah Asas TN50.

Ia merupakan falsafah asas yang terpandu dan terkumpul dari siri-siri dialog TN50 sepanjang setahun lalu.

Selain itu kata Datuk Seri Najib mahu menjadikan tahun 2017 sebagai tahun penyampaian iaitu sebagai fokus dan bidang keutamaan.

"Pengukuhan dan pemerkasaan perkhidmatan awam harus memfokuskan kepada rakyat, inklusif dengan penyertaan komuniti dan berbudaya kerja serta perkhidmatan cemerlang dan mempunyai nilai-nilai murni yang membawa kepada keutuhan organisasi," jelasnya.

Ujar Datuk Seri Najib lagi, prinsip wala' dan kesetiaan juga menjamin disiplin dan kelancaran dalam organisasi yang menunjangi kerajaan.

Dalam pada itu katanya, penjawat awam seharusnya mempraktikkan budaya kerja di luar kelaziman iaitu bekerja melepasi dan melangkaui tahap keupayaan lazim iaitu di luar lingkungan kotak pemikiran biasa demi hasil yang luar biasa.

"Kerajaan juga menyarankan penjawat awam terus melipat-gandakan usaha dalam melatih diri menjadi multi-tasking, multi-skills dan multi-talented.

"Ia mampu menyumbang kepada budaya kerja high productivity, high value, high thinking, high skills dan highly-motivated untuk sentiasa bekerja keras bagi mencapai kejayaan untuk negara," katanya.

Beliau turut mahu revolusi perindustrian keempat dan ekonomi digital menuju TN50 yang membawa negara menikmati kebestarian kehidupan, merangkumi pelbagai bidang.

"Ia termasuk seperti smart energy, smart mobility, smart healthcare, smart infrastructure, smart governance dan smart citizens.

"Apa yang ingin saya katakan adalah, bermula dari sekarang kita bukan lagi seperti lazimnya bekerja keras semata-mata tetapi urusan kerja dapat dimangkinkan dengan hasil lonjakan berganda melalui penggunaan kemudahan kemajuan bidang teknologi digital seperti membolehkan orang ramai memperbaharui lesen, cukai jalan, pasport, penggunaan sistem MyEG, hinggakan laporan polis pun boleh dibuat secara online," jelasnya.

Datuk Seri Najib memberitahu, penjawat awam juga harus merekayasa Malaysia untuk menjadi negara maju dan mencapai pengertian al-Falah iaitu kecemerlangan duniawi serta ukhrawi.

"Saya menyeru kepada semua penjawat awam supaya membuat persediaan rapi dan merencana strategi berkesan dari sekarang khususnya untuk menongkah beberapa fasa perubahan menuju TN50," ujarnya.

Mappa mula diperkenalkan sejak tahun 2000 sebagai salah satu platform untuk seluruh penjawat awam menghayati aspirasi dan hasrat pucuk kepimpinan tertinggi negara melalui amanat yang disampaikan oleh Perdana Menteri.

Ia amat signifikan dalam usaha memartabatkan perkhidmatan awam dan memacu Malaysia kearah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.